Articles

Pengenalan

Pusat Pengajian Pra-Universiti (PPPU) terletak di Kampus Timur, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Kota Samarahan. Terdapat dua program utama pengajian iaitu Asasi Sains Hayat dan Sains Fizikal. Program Pengajian Asasi Sains (Hayat dan Fizikal) ini mula ditawarkan pada sesi pengajian 2010/2011. Program ini adalah di bawah kawal seliaan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Sehingga kini, sudah ada 3 kumpulan kemasukan pengajian telah dilakukan dan terdapat peningkatan dalam jumlah pengambilan bagi setiap sesi kemasukan. Sesi akademik 2012/2013 adalah pengambilan bagi kumpulan kemasukan yang ke-3.

pemandangan dari atas kampusPermandangan dari atas kampus

Pada dasarnya, program ini ditawarkan adalah dengan matlamat dan tujuan menyediakan pelajar yang berkelayakan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi mengikuti program ijazah dasar yang tersedia di UNIMAS. Dengan penawaran program ini, maka UNIMAS mempunyai kaedah untuk melatih dan membentuk golongan pelajar ini untuk mengikuti program pengajian dalam bidang-bidang yang berasaskan sains dan teknologi. Seterusnya, kumpulan pelajar ini diharap akan menjadi peneraju dan pemangkin dalam sektor sains dan teknologi dan yang berkaitan dalam negara.

Sukatan pengajaran dan pembelajaran (P&P) program ini dibangunkan berpandu dan berasaskan kepada sukatan pelajaran sains asasi dan matrikulasi institusi-institusi pengajian tinggi awam tempatan dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).

Para pelajar yang berjaya ditawarkan mengikuti program pengajian ini akan mendapat bantuan kewangan dari KPT dengan sesi pengajian selama setahun (dua semester). Sebanyak 50 jam kredit matapelajaran yang merangkumi kursus asas sains (Matematik, Kimia, Fizik atau Biologi) serta Bahasa Inggeris, Teknologi Maklumat, Nilai-nilai Sejagat, Kemahiran Berkomunikasi dan Ko-kurikulum Berkredit perlu diambil oleh setiap pelajar dalam tempoh pengajian mereka.

Program ini diadakan agar dapat menyediakan asas pembelajaran yang kukuh kepada pelajar bagi mengikuti sistem pembelajaran berteraskan sains dan teknologi sumber, sains kognitif, perubatan dan sains kesihatan, kejuruteraan serta teknologi maklumat di peringkat yang lebih tinggi kelak.