PUSAT PENGAJIAN PRA-UNIVERSITI

Sinopsis Kursus

Deskripsi mengenai kursus-kursus yang ditawarkan merangkumi Matematik, Kimia, Biologi, Fizik, Bahasa Inggeris, Kompetensi ICT, Ko-kurikulum Berkredit, Nilai-nilai Sejagat, dan Kemahiran Komunikasi.

Matematik

Kursus ini membincangkan kepentingan matematik untuk diaplikasi dalam bidang sains dan teknologi. Kursus ini dibahagikan kepada topik-topik seperti sistem nombor, polinomial, pengamiran, vektor, sektor-sektor kon, fungsi trigonometri dan hiperbolik. Di samping memberi penekanan kepada penyelesaian masalah, kursus ini juga menerapkan kemahiran berfikir secara kritis dan logik.

Kimia

Kursus ini direka untuk mendedahkan pelajar dengan pengetahuan asas dalam pelbagai disiplin kimia dan merangkumi aspek teori dan amali. Perbincangan merangkumi tajuk-tajuk seperti kimia dan penamaan, stoikiometri, struktur atom, jadual berkala, kimia organik, kinetik tindakbalas, asid dan bes, elektro kimia dan keseimbangan kimia.

Biologi

Kursus ini merangkumi pelbagai disiplin utama dalam biologi antaranya konsep asas dan ciri-ciri prokariotik dan eukariotik, genetik, pembiakan dan tumbesaran dalam haiwan dan tumbuhan, immunologi, evolusi dan biodiversiti. Persekitaran pembelajaran aktif melalui penglibatan terus pelajar adalah digalakkan. Prinsip asas dan teori biologi akan dibekalkan bagi membantu pelajar mempelajari sains asas.

Fizik

Kursus ini secara amnya mengkhususkan fizik mekanik dan fizik elektrik yang akan diliputi sepanjang 2 semester pengajian. Ini merangkumi definisi dan konsep asas mekanik dan elektrik, antaranya putaran bagi jasad tegar, kegravitian, elektrostatik, arus terus dan ulang alik. Di samping itu, ia juga melibatkan mekanik bendalir, pemindahan suhu dan haba, aruhan elektromagnet, sinar-x dan keradioaktifan.

Bahasa Inggeris

Kursus ini bertujuan membina kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan menulis pelajar dalam bahasa Inggeris, dengan fokus kepada aspek mendengar dan membaca. Pelajar akan didedahkan kepada pelbagai jenis teks dan mengaplikasi penggunaan bahasa yang betul dan sesuai dalam pelbagai konteks. Pelajar turut berpeluang membina dan mengintegrasikan kemahiran-kemahiran ini dalam pelbagai situasi sosial dan akademik.

Kompetensi ICT

Kursus pengenalan ini merangkumi pemahaman melalui pembelajaran secara praktikal tentang bagaimana teknologi maklumat boleh meningkatkan produktiviti. Topik dalam kursus ini termasuk Media Digital, Pengaturcaraan Komputer, Internet dan Industri Komputer. Pelbagai pakej perisian yang popular digunakan semasa kerja praktikal. Antaranya ialah persediaan dokumentasi dan lembaran kerja. Kursus ini bertujuan untuk membangunkan kemahiran dan pemahaman tentang penggunaan teknologi untuk menjadi pekerja ilmuan.

Ko-Kurikulum Berkredit

Kursus ini menerapkan aspek pembangunan kemahiran insaniah melalui penglibatan pelajar dalam aktiviti kokurikulum. Kursus Kokurikulum Berkredit dibahagikan kepada 8 teras utama iaitu Sukan, Kebudayaan, Khidmat Komuniti, Daya Usaha dan Inovasi, Kepimpinan, Kesukarelaan, Pengucapan Awam dan Keusahawanan. Kursus berasaskan aktiviti ini memberi penekanan kepada elemen kemahiran insaniah khususnya kemahiran komunikasi (CS), pemikiran kritis dan penyelesaian masalah (CTPS), etika dan moral (EM), kerja berpasukan (TS), keusahawanan (ES) dan kepemimpinan (LS).

Nilai-nilai Sejagat

Kursus ini membincangkan secara umum nilai-nilai sejagat yang sepatutnya diterap oleh setiap pelajar untuk berjaya dalam kehidupan mereka. Pelajar akan didedahkan kepada falsafah dalam nilai sejagat dan juga ciri-ciri nilai sejagat yang terdapat dalam agama utama dunia. Implementasi nilai-nilai sejagat manusia juga akan dibincangkan melalui kes pembelajaran terpilih. Disamping itu, pelajar juga akan berbincang dan bertukar pandangan mengenai hubungan nilai-nilai sejagat ini dengan hak-hak asasi manusia melalui pembentangan kumpulan. Pelajar juga akan didedahkan dalam memilih nilai-nilai sejagat yang sesuai yang akan dilaksanakan dalam projek mini keusahawanan.

Kemahiran Komunikasi

Kursus ini menekankan kepentingan kemahiran komunikasi dan bagaimana berkomunikasi dengan efektif. Pelbagai elemen komunikasi juga akan dibincangkan. Kemahiran generik seperti menulis, mendengar, pembentangan, pengucapan awam dan strategi pemasaran dirangkumikan dalam kursus ini. Perbincangan dalam kumpulan, membina pasukan, juga etika dan adab halus, perhubungan umum disepadukan dalam kursus ini agar dapat melahirkan pelajar yang cemerlang dalam pembelajaran, kehidupan alam kampus dan juga alam pekerjaan.

Kepimpinan dan Kerja Berpasukan

Kursus ini menggalakkan pelajar-pelajar untuk mengaplikasikan aspek-aspek kemahiran pengurusan dan kemahiran insaniah melalui pengurusan acara dan keterlibatan. Kursus ini disampaikan melalui kuliah, aktiviti berkumpulan, dan projek berkumpulan. Pelajar-pelajar dikehendaki untuk mengurus, menghadiri, dan menyertai pertandingan-pertandingan kesukan, kebudayaan, atau kemahiran. Pelajar-pelajar dinilai melalui projek pengurusan, penglibatan dalam acara, dan penilaian rakan sebaya.